Puasa dari Sudut Kesihatan
PUASA Ramadhan ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari pada bulan Ramadhan.
Hukum puasa Ramadhan adalah wajib bagi umat Islam. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Hal ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni dalam diri pelakunya.
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah: ayat 183)
Hadis Rasulullah s.a.w. ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa’i dan Al Baihaqi daripada Abu Hurairah, yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah memfardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu, dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…
slam merupakan agama yang syumul yang merangkumi semua aspek kehidupan. Ini termasuklah penjagaan daripada sudut kesihatan yang mana umat Islam amat menitikberatkan kesejahteraan tubuh badan sebagaimana Islam menjaga akal dan nyawa.
Kesihatan merupakan modal utama untuk bekerja, beribadah dan melaksanakan aktiviti lain. Bulan Ramadhan banyak mendatangkan kebaikan dunia dan akhirat terutama jika diamalkan dengan sempurna dan penuh keinsafan. Ramadhan satu anugerah pada kita kerana mampu menaikkan taraf kesihatan masyarakat.
Puasa adalah penawar, kerana ia boleh merangsang perubahan-perubahan dalam metabolisme badan dan membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. Ketika puasa, organ-organ badan dapat rehat dan membantu buang segala kotoran dan toksin.
- Puasa memperbaiki komposisi dan kecergasan badan
Selain puasa wajib pada bulan Ramadhan, ada di antara kita yang berpuasa kerana berminat akan kesan puasa terhadap tisu lemak di badan dan pengurangan berat badan secara keseluruhan.
- Puasa meningkatkan tahap kekenyangan walaupun makan sedikit.
- Puasa mengurangkan keradangan
Keradangan merupakan punca kepada banyak penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tinggi, angin ahmar, obesiti dan lain lain. Keradangan boleh disebabkan oleh banyak faktor, salah satu daripadanya adalah diet yang tidak sihat, seperti terproses (processed food).
4.Puasa mengurangkan tekanan darah
Ketika berpuasa, tekanan darah dalam badan manusia akan menurun pada peringkat awal, terutamanya dalam minggu pertama berpuasa. Tekanan darah rendah berlaku kerana pengurangan pengambilan garam secara mendadak dan peningkatan kehilangan garam melalui proses pelawasan (kencing).
- Puasa mengurangkan tahap gula dalam darah
Apabila berpuasa, akan menurunkan kadar hormon insulin dalam darah dan memperbaiki tahap sensitiviti sel terhadap insulin yang amat penting dalam mengawal selia kadar gula di dalam darah. Keadaan ini penting untuk mencegah dan mengawal penyakit kencing manis.
- Puasa memanjangkan umur
Kajian daripada seorang pemenang Hadiah Nobel pada tahun 2016, Profesor Yoshinori Ohsumi daripada Jepun menunjukkan berpuasa mencetus badan untuk menghapuskan sel-sel badan yang rosak, dan memperbaharui sel, proses yang dipanggil autophagy. Melalui kajian autophagy, Profesor Ohsumi berjaya mengesan gen yang mengawal proses ‘memakan diri sendiri’ ini yang berlaku apabila berpuasa. Proses ini penting untuk mencegah penyakit penyakit yang berkaitan dengan penuaan dan memanjangkan umur.
Kesimpulannya Islam mewajibkan umatnya untuk berpuasa pada bulan Ramadhan, serta menggalakkan mereka untuk turut berpuasa dua hari seminggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis pada lain-lain bulan. Ternyata berpuasa mempunyai kelebihannya yang tersendiri yang telah dapat dibuktikan oleh sains.
Comments
Post a Comment